Ingat lagi pada ketika kamu mahu memberitahu apa yang terpendam dalam hati kamu, kepada seorang perempuan? Inilah kisahnya yang saya mahu kongsikan. Kisah bagaimana saya yang bekerja bersebelahan dengan seorang perempuan yang baik, dan hari itu hati saya sudah tidak tahan-tahan lagi. Walaupun hati saya gagap, tetapi tidaklah selalu dan hari itu pada ketika hati saya tidak gagap, saya sudah tidak kuat melindungi hasrat hati dan daripada situlah kisah ini terjadi.
Kisahnya.....
"Maksudnya, 'cintakan hikmah'."
Itu jawapan dia, pada saat saya bertanya, apa maksud namanya. Saya mengangguk-angguk khas orang yang baru tahu. Yalah, sudah sifatnya orang yang tidak tahu berbahasa Arab seperti saya, akan mengangguk seperti itu.
"Mengapa bertanya? Rasanya sudah hampir setahun, tetapi mengapa baru hari ini bertanya?"
Itu soalan pertamanya kepada saya. Saya menelan liur sambil hati mengutuk olah diri yang tidak punya strategi. Saya hanya mampu tersenyum sambil berharap dia lupa soalannya itu walaupun sangat tidak logik dia lupa soalan yang belum seminit. Sedangkan kisah lima tahun dahulu pun perempuan jarang lupa, apatah lagi yang ini.
Lalu selepas yakin dia itu teguh dengan soalannya terpaksa juga saya menjawab, "Mungkin hari ini, saya kurang pekerjaan sehingga terpaksa mencari kerja bagi bertanya maksud nama kamu."
"Jadi, bekerjalah," kata dia lalu kembali menatap skrin komputer yang penuh huruf. Saya pula kembali menyandarkan tubuh dan meregangkan otot-otot tangan ke atas, menghilangkan lelah. Pada masa yang sama, saya otak saya terus berputar bagi mencari kata-kata yang sesuai bagi menyampaikan maksud hati saya.
Guna dengan ekor matalah saya memandang dia, sesaat, mencuba mencari ilham pada wajahnya. Wajah yang akan memberikan lintasan hati kepada lelaki, tidak rugi sekiranya jatuh hati kepada dia. Namun tetap juga hati lelaki akan sungkan kerana ada sesuatu yang membuatkan hormat kepada dia meninggi. Entah apa, saya sendiri kurang pasti.Selepas berfikir-fikir, akhirnya datang juga ilham ke kepala saya. Bukanlah ilham itu datang kerana mencuri pandang wajahnya, melainkan pada ketika saya melihat jam tangan saya, dan terus kembali saya berpaling ke arahnya dan berkata, "Dalam sehari, semua manusia diberikan sesuatu yang sangat berharga, dengan sama rata dan adil. Namun entah mengapa ada juga yang merasakan tidak cukup."
Dia yang sedang asyik membuat kerja berpaling dengan kening terangkat ke atas, dan membuat debar saya meninggi.
"Maksud kamu, masa?" soalnya, cerdas.
Saya angguk.
"Jadi, apa kaitannya dengan saya? Bukankah itu memang sudah perkara biasa. Ada yang merasakan masa terlalu pendek, dan ada juga yang merasakan masa terlalu panjang," sambungnya lagi, dan terus kembali menyambung pekerjaannya tanpa menunggu saya menjawab.
"Apa yang manusia rasa itu bukan soalnya. Tindakan yang mereka buat semasa mereka merasakan hal itu yang menjadi masalah." Hati saya sudah semakin lega. Maksud hati yang saya mahu beritahu kepada dia, sudah nampak jalan dan caranya.
"Maksud kamu?" Dia sekali lagi memandang saya dengan wajah tidak peduli. Mungkin sahaja kerana dia sedang cuba konsentrasi dengan kerjanya yang menggunung.
"Cuba kamu lihat meja kamu. Betapa tingginya fail yang menggunung, sedangkan kamu tahu, itu bukan kerja kamu. Itu kerja orang yang merasa 24 jam itu tidak cukup. Mengapa perlu susahkan diri sendiri untuk membuat kerja orang lain?"
Akhirnya, terluah jugalah hasrat hati saya. Entah mengapa saya berasa perlu memberitahu perkara itu kepada dia. Mungkin... entahlah. Anggap sahajalah saya ini prihatin.
Mendengarkan sahaja kata-kata saya itu terus dia berpaling dan berkata, "Kamu fikir saya sedang teraniaya?"
Saya angguk.
Dia tersenyum dan berkata, "Terima kasih kerana prihatin dan saya gembira. Namun biarlah saya memberitahu kamu bahawa saya menerima pekerjaan itu bukan kerana saya takut dan jadi teraniaya. Malah saya menerimanya dengan sedar dan dengan rela hati. Bukan juga saya bodoh mahu menyusahkan diri sendiri melainkan saya yang menawarkan diri, kerana saya mahu sesuatu daripada pekerjaan itu."
"Pahala?" teka saya. Yakin betul saya dengan tekaan itu kerana untuk perempuan seperti itu, pasti pahala juga yang dia cuba raih.
"Betul tetapi bukan sekadar itu," tingkahnya dengan yakin.
"Pengalaman kerja?" Itu yang saya teka kerana kerja seperti kami ini, bukan sekadar kerani yang kerjayanya rutin, tetapi kerja yang sentiasa memberi pengalaman baru, memerlukan otak kiri dan kanan sentiasa berpusing-pusing,
"Itu betul juga, tetapi itu bukan yang utama." Suaranya datar dan dia terus sahaja memandang ke skrin komputer sambil jemarinya bersemangat mengetuk keyboard.
Tidak mampu lagi saya meneka. Atas alasan apa lagi dia mahu menawarkan diri membuat kerja orang lain. Lalu saya diam seminit sebelum dengan tiba-tiba berkata, "Apa?"
"Saya mahu memberi," jawabnya ringkas dan membuatkan saya terhairan-hairan.
Memang mudah melihat wajah hairan saya itu, dan tanpa disuruh perempuan itu kembali berkata, "Kamu sendiri kata, Allah sudah membahagi-bahagikan 24 jam itu sama rata kepada semua manusia. Namun, mungkin kamu terlupa, ujian Allah itu berbeza-beza kepada setiap manusia. Allah menguji hamba-Nya mengikut kemampuan mereka. Jangan pula kamu melihat itu tanda tidak adil kerana maksud adil dalam Islam itu adalah meletakkan sesuatu pada haknya. Jadi, pada ketika kita menerima ujian daripada Allah, itulah ujian yang berhak ke atas diri kita, ujian yang paling adil."
Otak saya semakin berpusing memikirkan kata-kata dia. Bagaimana seorang perempuan seperti dia mempunyai fikir begitu sehingga saya langsung tidak mampu mengerti fikirnya. Apa kaitan semua itu?
"Maaf, mohon jelaskan lagi." Itu pinta saya kerana, tidak menyangka sehingga begitu sekali dia berkata.
"Ujian Allah itu bukan sekadar ujian pada apa yang kita lihat, bukan hanya pada harta, dan bukan hanya pada keluarga. Malah ujiannya yang sukar adalah ujian pada apa yang kita ada....."
Pantas saya mengerti sesuatu dan mengangkat, tangan terus menyambung, "Maksudnya, kamu mempunyai lebih masa, jadi kamu mahu memberi masa yang kamu lebih itu?"
"Ia lebih daripada itu." Dia kembali mengulang jawapannya.
"Apa?" soal saya kembali dengan hati yang tetap cuba bertahan sabar.
Dia tersenyum baik. Bukan senyuman yang mahu menggoda, tetapi senyuman yang melegakan hati orang yang melihat. Kemudiannya dia berkata, "Kamu tahu maksud nama saya, bukan?"
"Cintakan hikmah?" jawab saya dengan yakin dan tersenyum juga yakin.
"Itulah yang sebenarnya saya usahakan, mencintai hikmah dengan mencarinya." Dia menjawab dengan nada yang teduh, namun kesannya pada hati saya semakin kacau. Semakin jauh dia membawa hati saya.
"Boleh terus kepada maksud kamu?" Akhirnya, hilang jugalah sabar saya.
Dia tetap tersenyum baik sebelum menjawab, "Hikmah itu bukan sekadar kebaikan luaran yang kita peroleh, tetapi yang paling penting adalah kebaikan dalaman. Lalu pada ketika saya memberikan masa saya kepada orang yang memerlukan, saya sebenarnya sedang mencari hikmah. Bagaimana kamu mahu memperoleh hikmahnya ikhlas dan sabar, sekiranya kamu tidak pernah memberi?"
Saya diam, dan kembali menatap skrin komputer dengan kepala yang pusing, terus berfikir. Ternyata dia bukan sekadar wajahnya yang membuatkan lintasan hati, tidak rugi untuk jatuh hati. Pada kata-katanya juga, memang perlu untuk saya jatuh hati. Ternyata, namanya itu memberi erti bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk diri saya. Itulah perempuan yang bernama Fila Sufia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan